Notis Privasi Google Chrome
Tarikh arkib: 24 Januari 2017
Ketahui cara mengawal maklumat yang dikumpulkan, disimpan dan dikongsi apabila anda menggunakan penyemak imbas Google Chrome pada komputer dan peranti mudah alih anda, OS Chrome dan Penyemakan Imbas Selamat. Meskipun dasar ini menerangkan ciri yang khusus kepada Chrome, sebarang maklumat peribadi yang diberikan kepada Google atau disimpan dalam Akaun Google anda akan digunakan dan dilindungi menurut Dasar Privasi Google.
Jika anda mendayakan apl Google Play pada Chromebook anda, penggunaan dan perlindungan maklumat yang dikumpulkan oleh Google Play atau sistem pengendalian Android dikawal oleh Syarat Perkhidmatan Play dan Dasar Privasi Google. Maklumat khusus berkenaan Chrome disediakan dalam Notis ini jika berkaitan.
Butiran tentang Notis Privasi
Dalam Notis Privasi ini, kami menggunakan istilah "Chrome" untuk merujuk pada semua produk dalam keluarga Chrome yang disenaraikan di atas. Jika terdapat perbezaan dalam dasar antara produk, kami akan memaklumkan tentang perbezaan ini kepada anda.
Versi "Beta", "Dev" atau "Canary" apl Chrome membolehkan anda menguji ciri baharu yang sedang dihasilkan dalam Chrome. Notis Privasi ini dilaksanakan pada semua versi Chrome tetapi mungkin tidak terkini untuk ciri yang masih dibangunkan.
Sila baca ikhtisar kawalan privasi Chrome ini untuk mendapatkan panduan langkah demi langkah untuk mengurus pilihan privasi anda.
Jadual kandungan:
- Mod penyemak imbas
- Mengurus pengguna dalam Chrome
- Dasar Penyemakan Imbas Selamat
- Dasar tentang penggunaan apl, sambungan, tema, perkhidmatan dan alat tambah lain
- Maklumat privasi log pelayan
- Maklumat lanjut
Mod penyemak imbas
Anda tidak perlu memberikan sebarang maklumat peribadi untuk menggunakan Chrome tetapi Chrome mempunyai pelbagai mod yang boleh anda gunakan untuk menukar atau mempertingkat pengalaman penyemakan imbas anda. Amalan privasi berbeza mengikut mod yang anda gunakan.
Mod penyemak imbas asas
Mod penyemak imbas asas menyimpan maklumat secara setempat pada sistem anda. Maklumat ini mungkin termasuk:
-
Maklumat sejarah semakan imbas. Contohnya, Chrome menyimpan URL halaman yang anda lawati, cache teks, imej dan sumber lain daripada halaman itu dan, jika ciri ramalan tindakan rangkaian dihidupkan, senarai beberapa alamat IP yang dipaut daripada halaman itu.
-
Maklumat peribadi dan kata laluan untuk membantu anda mengisi borang atau mengelog masuk ke tapak yang anda lawati.
-
Senarai kebenaran yang telah anda berikan kepada tapak web.
-
Tangkapan skrin dalam saiz lakaran kecil untuk halaman yang paling kerap anda lawati.
-
Kuki atau data daripada tapak web yang anda lawati.
-
Data yang disimpan oleh alat tambah.
-
Rekod item yang anda muat turun daripada tapak web.
Anda boleh mengurus maklumat ini dalam beberapa cara:
-
Anda boleh memadamkan maklumat sejarah semakan imbas anda.
-
Anda boleh mengosongkan kuki dan data tapak dengan melawati dialog Kuki dan Data Tapak di chrome://settings/clearBrowserData.
-
Anda boleh menghentikan Chrome daripada menerima kuki daripada Google atau tapak lain. Ketahui lebih lanjut.
-
Anda boleh menyemak kata laluan yang disimpan dalam tetapan Chrome. Ketahui lebih lanjut.
-
Anda boleh melihat dan mengurus maklumat Autolengkap anda yang disimpan. Ketahui lebih lanjut.
Maklumat peribadi yang disimpan oleh Chrome tidak akan dihantar kepada Google melainkan anda memilih untuk menyimpan data itu dalam Akaun Google anda dengan mengelog masuk ke Chrome. Tindakan mengelog masuk akan mendayakan ciri penyegerakan Chrome.
Cara Chrome mengendalikan maklumat anda
Maklumat untuk pengendali tapak web. Tapak yang anda lawati menggunakan Chrome akan menerima maklumat log standard secara automatik, termasuk alamat IP sistem dan data daripada kuki atau teknologi yang serupa. Secara umumnya, penggunaan Chrome untuk mengakses perkhidmatan Google, seperti Gmail, tidak menyebabkan Google menerima sebarang maklumat tambahan yang mengenal pasti diri anda. Di tapak web Google dan tapak web lain yang mengikut serta, jika Chrome mengesan tanda-tanda bahawa anda sedang diserang secara aktif oleh seseorang pada rangkaian (“serangan orang tengah”), Chrome mungkin menghantar maklumat tentang sambungan tersebut kepada Google atau tapak web yang anda lawati untuk membantu menentukan tahap serangan tersebut dan cara serangan itu berfungsi. Google menyediakan laporan kepada pemilik tapak web tentang serangan yang berlaku di tapak mereka.
Prapemaparan. Untuk memuatkan halaman web dengan lebih pantas, Chrome mempunyai tetapan yang dapat mencari alamat IP pautan di halaman web dan sambungan rangkaian terbuka. Tapak dan apl Android juga boleh meminta penyemak imbas melakukan pramuat halaman yang mungkin anda lawati selepas ini. Permintaan pramuat daripada apl Android dikawal oleh tetapan yang sama seperti ramalan yang dimulakan Chrome. Walau bagaimanapun, arahan pramuat daripada tapak sentiasa dilakukan, tanpa mengira sama ada ciri ramalan rangkaian Chrome didayakan. Jika prapemaparan diminta, sama ada oleh Chrome atau oleh tapak atau apl, tapak yang dipramuat itu dibenarkan untuk menetapkan dan membaca kukinya sendiri seolah-olah anda telah melawatinya walaupun anda sebenarnya tidak melawati halaman prapaparan tersebut. Ketahui lebih lanjut.
Lokasi. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih berkaitan dari segi geografi, Chrome memberi anda pilihan untuk berkongsi lokasi anda dengan tapak. Chrome tidak membenarkan tapak mengakses lokasi anda tanpa kebenaran, namun pada peranti mudah alih, Chrome berkongsi lokasi anda secara automatik dengan enjin carian lalai anda setelah anda memberikan apl itu kebenaran untuk mengakses lokasi anda. Chrome menggunakan Perkhidmatan Lokasi Google untuk menganggar lokasi anda. Maklumat yang dihantar oleh Chrome kepada Perkhidmatan Lokasi Google boleh termasuk:
- Penghala Wi-Fi yang paling dekat dengan anda
- ID sel untuk menara sel yang paling berdekatan dengan anda
- Kekuatan isyarat Wi-Fi atau sel anda
- Alamat IP yang diberikan kepada peranti anda pada masa ini
Google tiada kawalan terhadap tapak web pihak ketiga atau amalan privasi tapak itu, jadi sila berhati-hati apabila berkongsi lokasi anda dengan tapak web.
Kemas kini. Chrome menghantar maklumat kepada Google secara berkala untuk menyemak kemas kini, mendapatkan status kesambungan, mengesahkan waktu semasa dan menganggarkan bilangan pengguna aktif.
Ciri carian. Apabila anda membuat carian menggunakan bar alamat dalam Chrome, aksara yang anda taip (meskipun anda belum menekan "enter") akan dihantar kepada enjin carian lalai anda. Ini membolehkan enjin carian anda meningkatkan pengalaman carian dan penyemakan imbas dengan mencadangkan secara automatik bagi istilah atau URL yang mungkin dicari. Ketahui lebih lanjut. Jika Google merupakan enjin carian lalai anda, Chrome akan menghubungi Google apabila anda mula mencari atau apabila anda menukar rangkaian, supaya anda boleh mendapat alamat web setempat yang terbaik untuk menghantar pertanyaan carian. Jika anda telah mengelog masuk ke tapak Google atau ke Chrome dan Google merupakan enjin carian lalai anda, carian yang anda lakukan menggunakan bar alamat dalam Chrome disimpan dalam akaun Google anda.
Perkhidmatan cadangan. Cadangan diberikan berdasarkan carian web berkaitan, sejarah penyemakan imbas anda dan tapak web popular. Jika enjin carian lalai anda menyediakan perkhidmatan cadangan, penyemak imbas akan menghantar teks yang anda taip dalam bar alamat kepada enjin carian. Ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan ramalan bar alamat.
Bantuan navigasi. Apabila anda tidak dapat bersambung ke halaman web, anda boleh mendapatkan cadangan untuk halaman alternatif yang serupa dengan halaman yang cuba anda capai. Untuk menawarkan cadangan kepada anda, Chrome menghantar URL halaman yang cuba anda dapatkan kepada Google.
Pengurusan autolengkap dan kata laluan. Chrome menghantar kepada Google maklumat awanama terhad tentang borang web yang anda temui, termasuk URL halaman web bercincang dan butiran struktur borang supaya kami dapat meningkatkan perkhidmatan pengurusan Autolengkap dan kata laluan.
Pembayaran. Jika anda dilog masuk ke penyemak imbas Chrome dan anda menyimpan butiran kad kredit dalam Akaun Pembayaran Google, Chrome akan menawarkan anda pilihan untuk mengisi butiran kad tersebut dalam borang web. Selain itu, jika anda memasukkan butiran kad kredit baharu dalam borang web, Chrome akan menawarkan untuk menyimpan butiran kad kredit anda serta maklumat pengebilan yang berkaitan dalam akaun Pembayaran Google anda. Jika anda menggunakan kad daripada Google Payments atau memilih untuk menyimpan butiran kad kredit anda dalam akaun Pembayaran Google untuk penggunaan pada masa hadapan, Chrome akan mengumpulkan maklumat tentang komputer anda dan berkongsi maklumat itu dengan Google Payments untuk melindungi anda daripada penipuan. Jika disokong oleh pedagang, Chrome turut akan membenarkan anda untuk membayar menggunakan Android Pay pada Android anda.
Laporan perangkaan penggunaan dan ranap sistem. Secara lalainya, laporan perangkaan penggunaan dan ranap sistem dihantar kepada Google untuk membantu kami meningkatkan produk kami. Perangkaan penggunaan mengandungi maklumat seperti keutamaan, klikan butang dan penggunaan memori. Perangkaan penggunaan tidak termasuk URL halaman web atau maklumat peribadi. Laporan ranap sistem mengandungi maklumat sistem pada masa ranap sistem itu berlaku dan mungkin mengandungi URL halaman web atau maklumat peribadi, bergantung pada perkara yang berlaku pada masa laporan ranap sistem tersebut dicetuskan. Kami mungkin berkongsi maklumat teragregat bukan peribadi daripada laporan ranap sistem dengan pihak ketiga. Anda boleh menukar sama ada laporan perangkaan penggunaan dan ranap sistem dihantar kepada Google pada bila-bila masa. Ketahui lebih lanjut. Jika apl Google Play didayakan pada Chromebook anda dan perangkaan penggunaan Chrome didayakan, data diagnostik dan penggunaan Android turut dihantar kepada Google.
Lesen media. Sesetengah tapak web menyulitkan media sebagai perlindungan daripada akses dan penyalinan yang tidak dibenarkan. Untuk tapak HTML5, pertukaran kunci ini dilakukan menggunakan API Sambungan Media Disulitkan. Untuk membolehkan akses kepada media ini, pengecam sesi dan lesen mungkin disimpan secara setempat. Pengecam ini boleh dipadamkan oleh pengguna di Chrome menggunakan Kosongkan Data Semakan Imbas dengan “Lesen media” didayakan. Untuk tapak yang menggunakan Adobe Flash Access, penyemak imbas Chrome untuk Windows atau OS Chrome menyediakan pengecam unik kepada rakan kongsi kandungan dan tapak web. Pengecam disimpan pada sistem anda. Anda boleh menolak akses ini dalam tetapan di bawah Tetapan Kandungan, Kandungan dilindungi dan menetapkan semula ID menggunakan Kosongkan Data Semakan Imbas dengan “Lesen media” didayakan. Jika anda mengakses kandungan HD pada OS Chrome, penyedia kandungan mungkin meminta Chrome memberikan sijil untuk mengesahkan kelayakan peranti. Untuk mengesahkan peranti anda, Chromebook anda akan berkongsi data tentang atribut perkakasannya dengan tapak web dan akan menggunakan Akses Disahkan untuk mengesahkan bahawa kunci kriptografinya dilindungi oleh perkakasan Chrome. Chrome akan menggesa anda supaya membenarkan atau menolak penyemakan pengesahan ini. Ketahui lebih lanjut.
Perkhidmatan Google yang lain. Notis ini menerangkan perkhidmatan Google yang didayakan secara lalai dalam Chrome. Selain itu, Chrome mungkin menawarkan perkhidmatan web Google yang lain. Contohnya, jika anda menemui halaman dalam bahasa lain, Chrome akan menawarkan untuk menghantar teks itu kepada Google untuk terjemahan. Anda akan dimaklumi tentang pilihan untuk mengawal perkhidmatan ini semasa pertama kali anda menggunakannya. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dalam Kertas Putih Privasi Chrome.
Pengecam dalam Chrome
Chrome menyertakan beberapa pengecam yang diperlukan untuk menguasakan ciri. Contohnya, jika anda menggunakan pemesejan tolak, pengecam akan dibuat untuk menghantar notis kepada anda. Jika boleh, kami akan menggunakan pengecam tidak unik dan mengalih keluar pengecam apabila tidak diperlukan lagi. Di samping itu, pengecam berikut membantu kami membangunkan, mengedarkan dan mempromosikan Chrome, tetapi tidak berkaitan secara langsung dengan ciri Chrome.
-
Penjejakan pemasangan. Setiap salinan penyemak imbas Chrome versi desktop Windows mengandungi nombor pemasangan sementara yang dihasilkan secara rawak dan dihantar kepada Google apabila anda memasang dan menggunakan Chrome pada kali pertama. Pengecam sementara ini membantu kami menganggarkan bilangan penyemak imbas yang dipasang dan akan dipadamkan pada kali pertama Chrome dikemas kini. Versi mudah alih Chrome menggunakan pelbagai pengecam peranti secara berterusan untuk menjejak bilangan pemasangan Chrome.
-
Penjejakan promosi. Untuk membantu kami menjejak kejayaan kempen promosi, Chrome akan menjana token unik yang dihantar kepada Google semasa anda menjalankan dan menggunakan penyemak imbas untuk kali pertama. Selain itu, jika anda menerima atau mengaktifkan semula salinan penyemak imbas Chrome versi desktop sebagai sebahagian daripada kempen promosi dan Google ialah enjin carian lalai anda, maka carian daripada kotak omni akan menyertakan teg promosi bukan unik. Semua versi mudah alih penyemak imbas Chrome turut menyertakan teg promosi bukan unik dengan carian daripada kotak omni. OS Chrome mungkin turut menghantar teg promosi bukan unik kepada Google secara berkala (termasuk semasa penyediaan awal) dan apabila melakukan carian menggunakan Google. Ketahui lebih lanjut.
-
Percubaan lapangan. Kadangkala kami menjalankan ujian terhad bagi ciri baharu. Chrome menyertakan nombor semaian yang dipilih secara rawak pada jalanan pertama untuk memberikan penyemak imbas kepada kumpulan percubaan. Percubaan mungkin turut dihadkan mengikut negara (ditentukan oleh alamat IP anda), sistem pengendalian, versi Chrome dan parameter lain. Senarai percubaan lapangan yang aktif pada pemasangan Chrome anda disertakan dalam semua permintaan yang dihantar kepada Google. Ketahui lebih lanjut.
Mod Chrome Dilog Masuk
Apabila anda mengelog masuk ke penyemak imbas Chrome atau Chromebook dengan Akaun Google anda, data semakan imbas peribadi anda disimpan pada pelayan Google dan disegerakkan dengan akaun anda. Maklumat jenis ini boleh termasuk:
- Sejarah penyemakan imbas
- Penanda halaman
- Tab
- Kata Laluan dan maklumat Autolengkap
- Tetapan penyemak imbas yang lain, seperti sambungan yang dipasang
Tetapan ini dimuatkan secara automatik setiap kali anda mengelog masuk ke Chrome pada komputer dan peranti yang lain. Untuk menyesuaikan maklumat khusus yang anda segerakkan, gunakan menu “Tetapan”. Ketahui lebih lanjut. Anda dapat melihat amaun data Chrome yang disimpan untuk Akaun Google anda dan mengurusnya pada Papan Pemuka Penyegerakan Chrome. Pada Papan Pemuka, anda juga boleh melumpuhkan penyegerakan sepenuhnya dan memadamkan semua data yang berkaitan daripada pelayan Google. Ketahui lebih lanjut.
Cara Chrome mengendalikan maklumat setelah anda log masuk
Apabila anda menyegerakkan Chrome dengan Akaun Google, kami menggunakan data semakan imbas anda untuk meningkatkan dan memperibadikan pengalaman anda dalam Chrome. Anda turut boleh memperibadikan pengalaman pada produk Google yang lain dengan membenarkan sejarah Chrome disertakan dalam Aktiviti Web & Apl Google anda. Ketahui lebih lanjut.
Anda boleh menukar tetapan ini pada halaman Sejarah Akaun anda atau mengurus data peribadi anda pada bila-bila masa yang diingini. Jika anda tidak menggunakan data Chrome untuk memperibadikan pengalaman Google anda di luar Chrome, Google hanya akan menggunakan data Chrome anda selepas data itu dijadikan awanama dan diagregat dengan data daripada pengguna lain. Google menggunakan data ini untuk membangunkan ciri, produk dan perkhidmatan baharu dan untuk meningkatkan kualiti keseluruhan produk dan perkhidmatan yang sedia ada. Jika anda mahu menggunakan awan Google untuk menyimpan dan menyegerakkan data Chrome anda tetapi tidak mahu Google mengakses data itu, anda boleh menyulitkan semua data segerak anda dengan ungkapan laluan penyegerakan anda sendiri. Ketahui lebih lanjut.
Mod inkognito dan mod tetamu
Anda boleh mengehadkan maklumat yang disimpan oleh Chrome pada sistem anda menggunakan mod inkognito atau mod tetamu. Dalam mod ini, Chrome tidak akan menyimpan maklumat tertentu, seperti:
- Maklumat sejarah penyemakan imbas asas seperti URL, teks halaman cache atau alamat IP halaman yang dipaut daripada tapak web yang anda lawati
- Gambar halaman yang anda lawati
- Rekod muat turun anda, meskipun fail yang anda muat turun masih disimpan di tempat lain pada komputer atau peranti anda
Cara Chrome mengendalikan maklumat inkognito atau tetamu anda
Kuki. Chrome tidak akan berkongsi kuki yang sedia ada dengan tapak yang anda lawati dalam mod inkognito atau tetamu. Tapak boleh memasukkan kuki baharu pada sistem anda semasa menggunakan mod ini tetapi kuki itu hanya akan disimpan dan dihantar sehingga anda menutup tetingkap inkognito atau tetamu yang terakhir.
Perubahan konfigurasi penyemak imbas. Apabila anda membuat perubahan pada konfigurasi penyemak imbas anda, seperti menanda halaman web atau menukar tetapan anda, maklumat ini akan disimpan. Perubahan ini tidak akan terjejas oleh mod inkognito atau tetamu.
Kebenaran. Kebenaran yang anda berikan dalam mod inkognito tidak disimpan pada profil anda yang sedia ada.
Maklumat profil. Dalam mod inkognito, anda masih mempunyai akses kepada maklumat daripada profil anda yang sedia ada, seperti cadangan berdasarkan sejarah penyemakan imbas dan kata laluan yang disimpan semasa anda menyemak imbas. Dalam mod tetamu, anda boleh menyemak imbas tanpa melihat maklumat daripada sebarang profil yang sedia ada.
Mengurus Pengguna dalam Chrome
Mengurus pengguna untuk penggunaan Chrome secara peribadi
Anda boleh menyediakan versi Chrome yang diperibadikan untuk pengguna yang berkongsi satu peranti atau komputer. Harap maklum bahawa sesiapa yang mempunyai akses kepada peranti anda dapat melihat semua maklumat dalam semua profil. Untuk benar-benar melindungi data anda daripada dilihat oleh orang lain, gunakan akaun pengguna terbina dalam dalam sistem pengendalian anda. Ketahui lebih lanjut.
Anda juga boleh membuat pengguna diselia dalam Chrome dengan Akaun Google anda. Jika anda membuatnya, Google akan menyegerakkan dan menyimpan maklumat tentang pengguna diselia, seperti sejarah dan tetapan lain, dengan Akaun Google anda. Anda dapat melihat maklumat ini di chrome.com/manage.
Mengurus pengguna pada Chrome untuk Perusahaan
Sesetengah penyemak imbas Chrome atau Chromebook diurus oleh sekolah atau syarikat. Dalam hal ini, pentadbir berupaya melaksanakan dasar pada penyemak imbas atau Chromebook. Chrome akan menghubungi Google untuk menyemak dasar ini apabila pengguna mengelog masuk ke Chrome atau memulakan penyemakan imbas tanpa mengelog masuk untuk pertama kalinya (kecuali dalam mod tetamu). Chrome menyemak kemas kini dasar secara berkala.
Pentadbir boleh menyediakan dasar untuk status dan pelaporan aktiviti untuk Chrome, termasuk maklumat lokasi untuk peranti OS Chrome. Pentadbir anda juga mungkin berupaya mengakses, memantau, menggunakan atau mendedahkan data yang diakses daripada peranti terurus anda.
Amalan Penyemakan Imbas Selamat
Google Chrome dan penyemak imbas pihak ketiga tertentu, seperti sesetengah versi Mozilla Firefox dan Safari Apple, menyertakan ciri Penyemakan Imbas Selamat Google. Dengan Penyemakan Imbas Selamat, maklumat tentang tapak web yang mencurigakan dihantar dan diterima antara penyemak imbas yang anda gunakan dengan pelayan Google.
Cara Penyemakan Imbas Selamat berfungsi
Penyemak imbas anda menghubungi pelayan Google secara berkala untuk memuat turun senarai "Penyemakan Imbas Selamat" yang terbaharu, yang mengandungi tapak pancingan data dan perisian hasad yang diketahui. Salinan terbaharu senarai disimpan secara setempat pada sistem anda. Google tidak mengumpulkan sebarang maklumat akaun atau maklumat lain yang mengenal pasti diri sebagai sebahagian daripada hubungan ini. Walau bagaimanapun, Google menerima maklumat log standard, termasuk alamat IP dan kuki.
Setiap tapak yang anda lawati disemak dengan senarai Penyemakan Imbas Selamat pada sistem anda. Jika terdapat padanan, penyemak imbas anda akan menghantar salinan separa bercincang bagi URL tapak itu kepada Google supaya Google dapat menghantar maklumat lanjut kepada penyemak imbas anda. Google tidak dapat menentukan URL sebenar daripada maklumat ini. Ketahui lebih lanjut.
Ciri Penyemakan Imbas Selamat berikut adalah khusus kepada Chrome:
-
Sesetengah versi Chrome menampilkan teknologi Penyemakan Imbas Selamat yang dapat mengenal pasti tapak yang berkemungkinan berbahaya dan jenis fail yang berkemungkinan berbahaya yang tidak dikenali oleh Google. URL penuh tapak atau fail yang berkemungkinan berbahaya itu mungkin turut dihantar kepada Google untuk membantu menentukan sama ada tapak atau fail itu berbahaya.
-
Chrome menggunakan teknologi Penyemakan Imbas Selamat untuk mengimbas komputer anda secara berkala untuk mengesan perisian yang tidak dikehendaki yang menghalang anda daripada menukar tetapan atau mengganggu keselamatan dan kestabilan penyemak imbas anda. Ketahui lebih lanjut. Jika perisian jenis ini dikesan, Chrome mungkin menawarkan anda pilihan untuk memuat turun Alat Pembersih Chrome untuk mengalih keluar perisian itu.
-
Anda boleh memilih untuk menghantar data tambahan bagi menambah baik Penyemakan Imbas Selamat semasa anda mengakses sesuatu tapak yang mengandungi perisian hasad atau semasa Chrome mengesan perisian yang tidak dikehendaki pada komputer anda. Ketahui lebih lanjut.
-
Jika anda pengguna Penyemakan Imbas Selamat dan menyegerakkan sejarah penyemakan imbas Chrome ke akaun Google anda, maka untuk meningkatkan keselamatan dan kebergunaan kebenaran ciri web, Chrome boleh melaporkan secara awanama domain yang anda berikan, tolak dan batalkan kebenaran, atau abaikan atau tolak gesaan kebenaran.
-
Anda boleh memilih untuk melumpuhkan ciri Penyemakan Imbas Selamat dalam Chrome pada bila-bila masa.
Amalan privasi apl, sambungan, tema, perkhidmatan dan alat tambah lain
Anda boleh menggunakan apl, sambungan, tema, perkhidmatan dan alat tambah lain dengan Chrome, termasuk sesetengahnya yang mungin diprapasang atau disepadukan dengan Chrome. Alat tambah yang dibangunkan dan disediakan oleh Google mungkin berkomunikasi dengan pelayan Google dan tertakluk di bawah Dasar Privasi Google kecuali dinyatakan sebaliknya. Alat tambah yang dibangunkan dan disediakan oleh pihak lain menjadi tanggungjawab pencipta alat tambah itu dan mungkin mempunyai dasar privasi yang berbeza.
Mengurus alat tambah
Sebelum memasang alat tambah, anda harus menyemak kebenaran yang diminta. Alat tambah boleh mempunyai kebenaran untuk melakukan pelbagai perkara, seperti:
- Menyimpan, mengakses dan berkongsi data yang disimpan secara setempat atau dalam akaun Google Drive anda
- Melihat dan mengakses kandungan di tapak web yang anda lawati
- Menggunakan pemberitahuan yang dihantar melalui pelayan Google
Chrome boleh berinteraksi dengan alat tambah dalam beberapa cara:
- Menyemak kemas kini
- Memuat turun dan memasang kemas kini
- Menghantar penunjuk penggunaan kepada Google tentang alat tambah
Sesetengah alat tambah mungkin memerlukan akses kepada pengecam unik pengurusan hak digital atau untuk penghantaran pemesejan tolak. Anda boleh menyahdayakan penggunaan pengecam dengan mengalih keluar alat tambah daripada Chrome.
Dari semasa ke semasa, Google mungkin menemui alat tambah yang menimbulkan ancaman keselamatan, melanggar syarat pembangun untuk Gedung Web Chrome atau perjanjian sah lain, undang-undang, peraturan atau dasar. Chrome memuat turun senarai alat tambah yang berbahaya ini secara berkala untuk melumpuhkan atau mengalih keluar alat tambah sedemikian daripada sistem anda secara jauh.
Maklumat lanjut
Maklumat yang diterima oleh Google apabila anda menggunakan Chrome digunakan dan dilindungi di bawah Dasar Privasi Google. Maklumat yang diterima oleh pengendali tapak web lain dan pembangun alat tambah, termasuk kuki, tertakluk kepada dasar privasi tapak web itu.
Google mematuhi beberapa rangka kerja swakawalaturan, termasuk Rangka Kerja Safe Harbor AS-EU dan Rangka Kerja Safe Harbor AS-Swiss yang dikemukakan oleh Jabatan Perdagangan AS. Ketahui lebih lanjut.
Takrif
Kuki ialah fail kecil yang mengandungi rentetan aksara yang dihantar ke komputer anda apabila anda melawati tapak web. Apabila anda melawati tapak web tersebut sekali lagi, kuki membolehkan tapak tersebut mengecam penyemak imbas anda. Kuki boleh menyimpan keutamaan pengguna dan maklumat lain. Anda boleh menetapkan semula penyemak imbas anda untuk menolak semua kuki atau untuk menunjukkan apabila kuki dihantar. Walau bagaimanapun, sesetengah ciri tapak web atau perkhidmatan mungkin tidak berfungsi dengan betul tanpa kuki. Teknologi lain digunakan untuk tujuan yang serupa seperti kuki pada platform lain apabila kuki tidak tersedia atau tidak bersesuaian, seperti ID Pengiklanan yang tersedia pada peranti mudah alih Android. Ketahui lebih lanjut tentang cara Google menggunakan kuki dan cara Google menggunakan data, termasuk kuki, apabila anda menggunakan tapak atau apl rakan kongsi kami.
Akaun Google
Anda boleh mengakses sesetengah perkhidmatan kami dengan mendaftar untuk Akaun Google dan memberi kami maklumat peribadi (biasanya nama, alamat e-mel dan kata laluan anda). Maklumat akaun ini akan digunakan untuk mengesahkan anda apabila anda mengakses perkhidmatan Google dan melindungi akaun anda daripada diakses oleh orang lain tanpa kebenaran. Anda boleh mengedit atau menamatkan akaun anda pada bila-bila masa melalui tetapan Akaun Google anda.
Log pelayan
Seperti kebanyakan tapak web, pelayan kami secara automatik akan merekodkan permintaan halaman yang dibuat apabila anda melawati tapak kami. “Log pelayan” ini biasanya memasukkan permintaan web anda, alamat Protokol Internet, jenis penyemak imbas, bahasa penyemak imbas, tarikh dan masa permintaan anda dan satu atau beberapa kuki yang boleh mengenal pasti penyemak imbas anda secara unik.
Ini contoh entri log biasa dengan carian untuk “kereta”, diikuti dengan huraian tentang bahagiannya:
123.45.67.89 - 25/Mac/2003 10:15:32 -
https://www.google.com/search?q=cars -
Firefox 1.0.7; Windows NT 5.1 - 740674ce2123e969
-
123.45.67.89ialah alamat Protokol Internet yang diberikan kepada pengguna oleh ISP pengguna, bergantung pada perkhidmatan pengguna, alamat yang berbeza mungkin diberikan kepada pengguna oleh penyedia perkhidmatan setiap kali mereka disambungkan ke Internet. -
25/Mac/2003 10:15:32ialah tarikh dan masa pertanyaan; -
https://www.google.com/search?q=carsialah URL yang diminta, termasuk permintaan carian; -
Firefox 1.0.7; Windows NT 5.1ialah penyemak imbas dan sistem pengendalian yang digunakan; dan -
740674ce2123a969ialah ID kuki unik yang diberikan kepada komputer ini pada pertama kali komputer melawati Google. (Kuki boleh dipadamkan oleh pengguna. Jika pengguna telah memadamkan kuki daripada komputer sejak kali terakhir beliau melawati Google, maka nombor ini ialah ID kuki unik yang diberikan kepada pengguna apabila beliau melawati Google dari komputer tersebut selepas itu).