Chrome
Ini ialah versi arkib notis privasi Chrome. Lihat notis privasi semasa.

Notis Privasi Google Chrome

Tarikh arkib: 20 Februari 2014

Dasar Privasi Google menghuraikan cara kami mengendalikan maklumat peribadi apabila anda menggunakan produk dan perkhidmatan Google, termasuk apabila anda menggunakan penyemak imbas Chrome dan OS Chrome untuk mengakses produk dan perkhidmatan tersebut.

Notis Privasi Google Chrome ini menghuraikan amalan privasi yang khusus untuk kumpulan produk Chrome. Ini termasuklah penyemak imbas Chrome, OS Chrome, Chromecast dan Penyemakan Imbas Selamat. Sesetengah ciri yang dihuraikan dalam Notis Privasi ini tersedia dalam penyemak imbas web yang lain (cth. anda boleh memilih untuk menggunakan ciri Penyemakan Imbas Selamat dalam Mozilla Firefox), oleh itu jangan lupa bahawa anda harus membaca dasar privasi untuk penyemak imbas yang menjalankan ciri ini juga.

Tidak semua ciri yang dibincangkan dalam Notis Privasi ini dipaparkan dalam semua produk Chrome. Walau bagaimanapun, untuk memudahkan keadaan, kami akan menggunakan istilah “Chrome” sahaja untuk merujuk pada setiap produk dalam keluarga Chrome. Apabila terdapat produk Chrome tertentu yang berfungsi dengan cara yang lain, kami pasti akan menyatakannya.

Kepada perintis teknologi yang mahu menguji ciri yang sedang dibangunkan, kami menyediakan versi pratonton (turut dikenali sebagai beta, dev dan canary) penyemak imbas Chrome dan OS Chrome, selain versi yang telah stabil. Walaupun Notis Privasi Google Chrome ini dilaksanakan terhadap versi yang telah stabil dan pratonton, notis ini mungkin masih belum dikemas kini sepenuhnya apabila menghuraikan ciri yang sedang dibangunkan dalam versi pratonton.

Google akan memberitahu anda tentang sebarang perubahan penting terhadap dasar ini dan anda sentiasa diberi pilihan untuk menggunakan Chrome dengan cara yang tidak akan menghantar sebarang maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi kepada Google atau untuk mengalih keluar maklumat anda dan berhenti menggunakan Chrome.

Untuk mendapatkan panduan langkah demi langkah bagi membantu mengurus pilihan privasi anda, baca panduan kami untuk Penyemak Imbas, Google Chrome, Privasi dan Anda

Maklumat yang Google terima apabila anda menggunakan Chrome

Anda tidak perlu memberikan sebarang maklumat yang mengenal pasti anda secara peribadi untuk menggunakan Chrome.

Apabila anda menggunakan mana-mana penyemak imbas, termasuk Chrome, untuk menghubungi pelayan Google, Google menerima secara lalai maklumat log standard termasuk alamat IP sistem anda dan satu atau lebih kuki. Anda boleh mengkonfigurasi penyemak imbas Chrome dan OS Chrome untuk tidak menerima kuki daripada Google atau tapak lain. Ketahui lebih lanjut mengenai mengkonfigurasi kuki dan data tapak dalam penyemak imbas Chrome dan OS Chrome.

Jika anda menggunakan Chrome untuk mengakses perkhidmatan Google yang lain, seperti menggunakan enjin carian pada halaman utama Google atau menyemak Gmail, penggunaan ini tidak akan menyebabkan Google menerima sebarang maklumat khusus atau tambahan berhubung diri anda.

Di samping itu, beberapa ciri Chrome mungkin menghantar maklumat tambahan terhad kepada Google atau enjin carian lalai anda:

  • Jika anda menggunakan ciri Berbilang Pengguna penyemak imbas Chrome, anda boleh menyediakan salinan penyemak imbas Chrome yang diperibadikan untuk pengguna yang berkongsi peranti pengkomputeran yang sama. Tindakan ini bukan bertujuan untuk melindungi data anda daripada dilihat oleh orang lain yang menggunakan peranti anda - jadi sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada peranti anda dapat melihat semua maklumat dalam semua profil. Gunakan akaun pengguna terbina dalam pada sistem pengendalian anda agar dapat melindungi data anda sepenuhnya daripada dilihat oleh orang lain.

  • Jika anda memilih Google sebagai enjin carian anda, Chrome akan menghubungi Google semasa bermula atau apabila anda menukar rangkaian supaya dapat menentukan alamat web setempat yang terbaik untuk menghantar pertanyaan carian. Apabila anda menaip URL atau pertanyaan dalam bar alamat Chrome (kotak omni) atau kotak carian Pelancar Apl, huruf yang anda taip boleh dihantar ke enjin carian lalai anda supaya ciri ramalan enjin carian tersebut boleh mengesyorkan secara automatik istilah atau URL yang anda mungkin cari. Selain itu, untuk pengguna yang dilog masuk, teks yang anda taip ke dalam kotak carian Pelancar Apl boleh dihantar kepada Google untuk memberikan cadangan untuk kenalan anda dan aplikasi yang mungkin anda cari. Jika anda menerima pertanyaan atau URL yang diramalkan, Chrome mungkin menghantar maklumat tersebut dari penyemak imbas ke enjin carian lalai anda juga. Ketahui lebih lanjut mengenai cara melumpuhkan ramalan pelayan dalam kotak omni.

  • Jika anda menggunakan ciri Semerta Chrome dan ciri ini disokong oleh enjin carian lalai anda, hasil carian dan ramalan sebaris dipaparkan dengan serta-merta semasa anda menaip dalam bar alamat. Untuk mengetahui tentang dasar pengelogan Google berkenaan ramalan bar alamat dan Chrome Semerta, lihat artikel pusat bantuan "Dasar Pengelogan untuk Ramalan Kotak Omni dan Chrome Semerta" kami.

  • Jika anda menavigasi ke URL yang tidak wujud, Chrome mungkin menghantar URL tersebut kepada Google supaya kami boleh membantu anda mendapatkan URL yang anda cari. Kami mungkin turut menggunakan maklumat ini secara keseluruhan untuk membantu pengguna web lain - contohnya untuk memberitahu mereka bahawa tapak itu mungkin tidak berfungsi. Ketahui lebih lanjut mengenai cara melumpuhkan cadangan tentang ralat navigasi.

  • Chrome menghubungi Google secara berkala untuk melaksanakan fungsi seperti menyemak kemas kini, menyemak status sambungan, mengesahkan waktu semasa dan menganggarkan bilangan pengguna yang aktif. Setiap salinan penyemak imbas Chrome merangkumi nombor pemasangan sementara yang dihasilkan secara rawak yang akan dihantar kepada Google apabila anda memasang dan menggunakan produk pada kali pertama. Nombor sementara ini akan segera dipadamkan pada kali pertama penyemak imbas Chrome menyemak kemas kini secara automatik. Jika anda menerima atau mengaktifkan semula salinan penyemak imbas Chrome anda sebagai sebahagian daripada kempen promosi, ini boleh menghasilkan teg promosi bukan unik yang dihantar kepada Google apabila anda melakukan carian dengan Google dan satu token unik yang dihantar kepada Google apabila anda mula-mula menjalankan dan menggunakan penyemak imbas selepas pemasangan, pemasangan semula atau pengaktifan semula juga. OS Chrome mungkin menghantar teg promosi bukan unik secara berkala kepada Google (termasuk semasa persediaan permulaan) dan apabila melakukan carian dengan Google. Di samping itu, percubaan lapangan mungkin menghasilkan variasi Chrome yang berbeza dan Chrome mungkin menghantar maklumat bukan unik kepada Google mengenai variasi yang aktif.

  • OS Chrome menghubungi Google semasa peranti disediakan buat kali pertama untuk memastikan sekiranya peranti tersebut tertakluk di bawah dasar pentadbiran perusahaan. Proses ini melibatkan penghantaran sebahagian daripada olahan nombor siri peranti kepada Google dan menerima kembali senarai nombor siri peranti yang diolah untuk peranti yang dikonfigurasi oleh pentadbir perusahaan untuk menjadi peranti perusahaan. Chrome menghubungi Google untuk mendapatkan dasar sesi apabila pengguna log masuk ke Chrome untuk kali yang pertama atau memulakan penyemakan imbas tanpa log masuk (tidak termasuk mod Tetamu) pada peranti yang tertakluk kepada dasar. Chrome akan menyemak kemas kini dasar ini secara berkala. Dasar perusahaan mungkin melibatkan pelaporan status dan aktiviti untuk Chrome (termasuk maklumat lokasi untuk peranti OS Chrome) yang disediakan oleh pentadbir perusahaan.

  • Jika anda log masuk ke penyemak imbas Chrome, OS Chrome atau peranti Android yang menyertakan Chrome sebagai aplikasi prapasang menggunakan Akaun Google anda, ciri penyegerakan akan didayakan. Google akan menyimpan maklumat tertentu, seperti penanda halaman, sejarah dan tetapan lain pada pelayan Google yang berkaitan dengan Akaun Google anda. Maklumat yang disimpan pada Akaun anda dilindungi oleh Dasar Privasi Google. Kami turut menyimpan maklumat ini untuk menyediakannya kepada anda sekiranya anda memilih untuk log masuk menggunakan sesi Chrome yang lain. Ketahui lebih lanjut mengenai maklumat tertentu yang anda boleh pilih untuk disegerakkan dan selanjutnya mengenai cara melumpuhkan ciri penyegerakan Chrome dalam penyemak imbas Chrome.

  • Jika anda log masuk ke OS Chrome menggunakan Akaun Google anda, mendayakan penggunaan aplikasi Google luar talian dalam penyemak imbas Chrome atau memasang aplikasi Chrome yang menyimpan data dalam akaun Google Drive anda, Chrome boleh menghubungi pelayan Google dan menyegerakkan data anda dengan salinan setempat untuk mendayakan fungsi luar talian.

  • Jika anda menghasilkan pengguna diselia dalam penyemak imbas Chrome atau pada OS Chrome menggunakan Akaun Google anda, Google akan menyegerakkan dan menyimpan makumat tertentu tentang pengguna diselia, seperti sejarah dan tetapan lain pada pelayan Google bersama-sama dengan Akaun Google anda. Kami menyimpan maklumat ini agar anda boleh mendapatinya di chrome.com/manage. Maklumat yang disimpan pada akaun anda dilindungi oleh Dasar Privasi Google.

  • Jika anda menggunakan ciri Terjemahan pada Chrome, ciri itu akan menghantar teks yang anda pilih untuk diterjemahkan kepada Google untuk terjemahan.

  • Jika anda menggunakan ciri Semakan Ejaan pada Chrome, yang membolehkan anda menggunakan teknologi sama yang digunakan dalam carian Google untuk menyemak ejaan anda, ciri itu akan menghantar teks yang anda taipkan kepada Google untuk cadangan ejaan dan tatabahasa.

  • Jika anda menggunakan ciri input pertuturan Chrome, ciri itu akan menghantar kepada Google rakaman audio pertanyaan yang anda sebutkan, bahasa penyemak imbas lalai anda dan tetapan tatabahasa halaman web yang anda gunakan untuk input pertuturan. Google akan menggunakan maklumat ini untuk menukar audio yang dirakamkan kepada teks. Jika anda telah mendayakan perangkaan penggunaan dan laporan ranap sistem, dan anda menggunakan ciri input pertuturan, maklumat tambahan akan dihantar kepada Google, termasuk URL laman web yang menggunakan input pertuturan, sistem pengendalian anda dan pengeluar serta model peranti komputer dan perkakasan audio yang anda gunakan.

  • Jika anda menggunakan ciri Auto Isi Chrome, yang secara automatik melengkapkan borang web untuk anda berdasarkan borang yang serupa yang anda pernah isi sebelum ini, Chrome akan menghantar maklumat terhad kepada Google mengenai halaman yang mempunyai borang web, termasuk olahan URL halaman tersebut dan struktur perincian borang, supaya kami boleh mempertingkatkan perkhidmatan Auto Isi kami untuk borang web ini. Meskipun maklumat yang dihantar oleh Chrome mungkin merangkumi hakikat yang anda menaipkan maklumat ke dalam borang tersebut, teks sebenar yang anda taipkan dalam medan tersebut tidak akan dihantar kepada Google kecuali anda memilih untuk menyimpan data tersebut dalam Akaun Google anda menggunakan ciri penyegerakan Chrome.

  • Sesetengah borang web yang dikendalikan oleh Chrome akan menawarkan kepada anda pilihan untuk menggunakan Google Wallet dan bukannya ciri Autoisi Chrome untuk melengkapkan borang dan membuat pembayaran. Jika anda menggunakan Google Wallet, demi melindungi anda daripada penipuan, Chrome akan mengumpul maklumat mengenai komputer anda (termasuk lokasinya) dan mengongsinya dengan Google Wallet.

  • Jika anda menggunakan ciri lokasi Chrome, yang membenarkan anda berkongsi lokasi anda dengan tapak web, Chrome akan menghantar maklumat rangkaian setempat kepada Perkhidmatan Lokasi Google untuk mendapatkan lokasi anggaran. Ketahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Lokasi Google dan mendayakan / melumpuhkan ciri lokasi dalam Google Chrome. Maklumat rangkaian setempat mungkin termasuk (bergantung pada keupayaan peranti anda) maklumat mengenai penghala wifi paling dekat dengan anda, ID sel untuk menara sel paling dekat dengan anda, kekuatan isyarat wifi atau sel anda dan alamat IP yang diperuntukkan kepada peranti anda pada masa ini. Kami menggunakan maklumat tersebut untuk memproses permintaan lokasi dan untuk mengendalikan, menyokong dan meningkatkan mutu keseluruhan Chrome dan Perkhidmatan Lokasi Google. Maklumat terkumpul yang diterangkan di atas akan diawanamakan dan akan dikumpulkan sebelum digunakan oleh Google untuk membangunkan ciri atau produk dan perkhidmatan baharu, atau untuk meningkatkan kualiti keseluruhan sebarang produk dan perkhidmatan Google yang lain.

  • Jika anda menggunakan Chrome versi mudah alih dan anda telah memberikan apl Google pada Android atau Chrome pada iOS kebenaran untuk mengakses lokasi nanda, maka Chrome boleh menggunakan lokasi anda untuk perkhidmatan Google yang didayakan lokasi, termasuk sebagai contoh, meningkatkan carian kotak omni.

  • Jika anda cuba bersambung ke tapak web Google menggunakan sambungan selamat dan penyemak imbas menghalang sambungan tersebut disebabkan oleh maklumat yang menunjukkan anda sedang diserang secara aktif oleh seseorang di rangkaian (“serangan orang tengah”), Chrome mungkin menghantar maklumat mengenai sambungan tersebut kepada Google dengan tujuan untuk membantu menentukan tahap serangan tersebut dan cara serangan itu berfungsi.

  • Jika anda mendayakan ciri “Kurangkan penggunaan data” Chrome pada peranti mudah alih anda, Chrome akan menghantar trafik HTTP anda melalui pelayan pengoptimuman Google untuk mengurangkan jumlah data yang dimuat turun dan mempertingkatkan prestasi. Perkhidmatan pengoptimuman dilumpuhkan untuk sambungan ke tapak yang berasal dari HTTPS dan untuk sambungan yang dilakukan dari tab Inkognito.

  • Untuk penyemak imbas Chrome dan OS Chrome, anda boleh memilih untuk menghantar perangkaan penggunaan dan laporan ranap sistem kepada Google. Anda boleh mengurus tetapan ini dalam halaman pilihan Chrome; untuk pengguna OS Chrome, perangkaan penggunaan dan laporan ranap sistem didayakan secara lalai. Tetapan ini akan digunakan oleh semua pengguna untuk pemasangan Chrome yang tertentu. Perangkaan penggunaan dan laporan ranap sistem membantu kami mendiagnosis masalah, membantu kami memahami cara pengguna berinteraksi dengan Chrome dan membantu kami meningkatkan prestasi Chrome.

  • Bagi pengguna Chromecast, Google boleh mengumpul aktiviti sistem, ranap sistem dan butiran lain mengenai cara anda menggunakan Chromecast, termasuk penggunaan apl dan domain (tetapi bukan URL lengkap) yang diakses oleh Chromecast. Tetapan Chromecast untuk laporan data penggunaan dan ranap sistem didayakan secara lalai; pengguna Chromecast boleh mengurus tetapan ini menggunakan menu tetapan apl persediaan mereka.

  • Chrome cuba mengelak daripada menghantar maklumat yang mengenal pasti anda secara peribadi. Walau bagaimanapun, laporan ranap sistem boleh mengandungi maklumat sistem pada masa pincang tugas berlaku dan ralat yang membawa kepada berlakunya pincang tugas tersebut. Kami mungkin berkongsi maklumat berkumpulan, bukan peribadi tertentu yang kami peroleh daripada analisis kami, seperti kekerapan jenis ranap sistem tertentu berlaku.

Maklumat yang diterima oleh Google apabila anda menggunakan ciri Penyemakan Imbas Selamat pada Chrome atau penyemak imbas lain

Google Chrome dan penyemak imbas pihak ketiga yang tertentu (termasuk sesetengah versi Firefox Mozilla dan Safari Apple) memasukkan ciri Penyemakan Imbas Selamat Google. Penyemakan Imbas Selamat menghantar dan menerima maklumat antara penyemak imbas yang anda gunakan dan pelayan Google mengenai tapak web yang mencurigakan -- sebagai contoh, apabila anda melawat tapak yang disyaki sebagai tapak pemancingan data atau perisian hasad.

Penyemak imbas anda akan menghubungi pelayan Google untuk memuat turun senarai “Penyemakan Imbas Selamat” yang paling terkini secara berkala, yang mengandungi tapak pemancingan data dan perisian hasad yang diketahui. Google tidak mengumpulkan sebarang maklumat akaun atau maklumat lain yang mengenal pasti secara peribadi sebagai sebahagian daripada hubungan ini, tetapi Google menerima maklumat log standard, termasuk alamat IP dan satu atau beberapa kuki. Salinan senarai paling baharu disimpan secara setempat pada sistem anda.

Setiap tapak yang anda lawati akan dibandingkan dengan senarai Penyemakan Imbas Selamat pada sistem anda. Jika terdapat padanan terhadap senarai, penyemak imbas anda akan menghantar salinan separa URL tapak tersebut yang diolah supaya Google boleh menghantar lebih banyak maklumat kepada penyemak imbas anda. Google tidak dapat menentukan URL sebenar daripada maklumat ini. Baca lebih lanjut maklumat mengenai cara perkara ini berfungsi

Di samping itu, ciri Penyemakan Imbas Selamat berikut adalah khusus untuk Chrome:

  • Sesetengah versi Chrome menampilkan teknologi Penyemakan Imbas Selamat yang boleh mengenal pasti tapak dan muat turun fail boleh laku yang mungkin berbahaya, yang belum lagi diketahui oleh Google. Maklumat berkenaan tapak atau muat turun fail boleh laku yang mungkin berbahaya (termasuk URL penuh tapak atau muat turun fail boleh laku) mungkin dihantar kepada Google untuk membantu menentukan sama ada tapak atau muat turun tersebut berbahaya. Google tidak mengumpul sebarang maklumat akaun atau maklumat lain yang mengenal pasti secara peribadi sebagai sebahagian daripada hubungan ini, tetapi menerima maklumat log standard, termasuk alamat IP, URL yang dilawati dan satu atau beberapa kuki.

  • Anda boleh memilih untuk menghantar data tambahan untuk membantu meningkatkan Penyemakan Imbas Selamat apabila anda mengakses tapak yang nampak seperti mengandungi perisian hasad. Data ini dihantar apabila anda menutup atau menavigasi keluar dari halaman amaran Penyemakan Imbas Selamat. Laporan ini mengandungi data, seperti URL dan kandungan tapak web serta URL halaman yang menghalakan anda ke tapak tersebut, yang boleh digunakan oleh Google untuk mengesahkan sama ada tapak tersebut masih menyediakan kandungan yang mungkin mengeksploitasi pengguna.

  • Jika perangkaan penggunaan didayakan dalam Chrome dan anda melawat tapak yang pada pendapat kami boleh mendatangkan bahaya, data tambahan tertentu akan dikongsi dengan Google, termasuk URL penuh yang anda lawati, pengatas “perujuk” yang dihantar ke halaman tersebut dan URL yang sepadan dengan senarai Penyemakan Imbas Selamat.

  • Anda boleh memilih untuk melumpuhkan ciri Penyemakan Imbas Selamat dalam Chrome pada bila-bila masa.

Maklumat yang pengendali laman web terima apabila anda melawat tapak menggunakan Chrome

Tapak yang anda lawati menggunakan Chrome akan menerima secara automatik maklumat log standard sama seperti yang diterima oleh Google. Tapak ini mungkin turut menetapkan kukinya sendiri atau menyimpan data tapak pada sistem anda. Anda boleh menyekat kuki dan data tapak lain dalam halaman pilihan Chrome.

Jika anda mendayakan ciri ramalan tindakan rangkaian Chrome dan anda melawat halaman web, Chrome boleh mencari alamat IP semua pautan pada halaman web tersebut dan membuka sambungan rangkaian untuk memuatkan halaman web tersebut dengan lebih pantas. Tapak turut boleh menggunakan teknologi pra-pemaparan untuk pra-muat pautan yang anda mungkin klik seterusnya.

Jika anda menggunakan Chrome dalam mod inkognito (atau dalam mod tetamu di OS Chrome), kedua-duanya tidak akan menghantar sebarang kuki sedia ada ke tapak yang anda lawati. Tapak boleh memasukkan kuki baharu pada sistem anda semasa anda berada dalam mod ini; kuki ini hanya akan disimpan sementara dan dihantar ke tapak semasa anda masih dalam mod inkognito / tetamu. Kuki akan dipadamkan apabila anda menutup penyemak imbas, menutup semua tetingkap inkognito yang terbuka atau keluar daripada mod tetamu. Walaupun Chromecast tidak mempunyai mod inkognito, jika anda menggunakan mod inkognito pada penyemak imbas Chrome anda dan menyiarkan tapak ke Chromecast, Chromecast tidak akan merekodkan domain laman web itu.

Jika anda memilih untuk menggunakan ciri lokasi Chrome, perkhidmatan ini membolehkan anda berkongsi lokasi anda dengan tapak. Chrome tidak akan membenarkan tapak mengakses lokasi anda tanpa kebenaran anda. Google tidak mempunyai kawalan terhadap tapak web pihak ketiga atau amalan privasi tapak tersebut. Sila pertimbangkan dengan teliti amalan privasi mana-mana laman web sebelum bersetuju untuk berkongsi lokasi anda dengan laman web tersebut.

Maklumat disimpan pada sistem anda apabila anda menggunakan Chrome

Chrome menyimpan sesetengah maklumat secara setempat pada sistem anda. Ini mungkin termasuk:

  • Maklumat sejarah penyemakan imbas asas, contohnya URL halaman yang anda lawati, fail cache teks dan imej dari halaman tersebut serta senarai beberapa alamat IP yang dipaut dari halaman yang anda lawati.

  • Indeks boleh cari untuk kebanyakan halaman yang anda lawati (kecuali untuk halaman selamat dengan alamat web "https", seperti sesetengah halaman bank)

  • Tangkapan skrin dalam saiz lakaran kecil untuk kebanyakan halaman yang anda lawati

  • Kuki atau data storan web yang disimpan pada sistem anda oleh tapak web yang anda lawati

  • Data disimpan setempat yang disimpan oleh Alat tambah

  • Rekod muat turun yang anda telah lakukan dari laman web

Anda boleh memilih untuk memadamkan maklumat sejarah penyemakan imbas anda pada bila-bila masa, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya.

Anda turut boleh mengehadkan maklumat yang Chrome simpan pada sistem anda dengan menggunakan mod inkognito (atau mod tetamu pada OS Chrome). Dalam mod ini, Chrome tidak akan menyimpan maklumat sejarah penyemakan imbas asas seperti URL, teks halaman yang dicache atau alamat IP halaman yang dipaut dari laman web yang anda lawati. Chrome tidak akan menyimpan gambar halaman yang anda lawati atau menyimpan rekod muat turun anda juga (tetapi maklumat ini masih boleh disimpan di tempat lain pada sistem anda, contohnya dalam senarai fail yang dibuka baru-baru ini). Kuki baharu yang diterima dalam mod ini tidak akan disimpan selepas anda menutup penyemak imbas anda, menutup semua tetingkap inkognito yang terbuka atau keluar dari mod tetamu. Anda dapat melihat apabila anda berada dalam mod inkognito / tetamu kerana ikon inkognito dipaparkan pada sudut sebelah atas penyemak imbas anda; dalam keadaan tertentu, sempadan tetingkap penyemak imbas anda mungkin bertukar warna juga.

Apabila anda membuat perubahan pada konfigurasi penyemak imbas anda, seperti dengan menandakan halaman web atau menukar tetapan anda, maklumat ini akan turut disimpan. Perubahan ini tidak akan terjejas oleh mod inkognito / tetamu.

Anda boleh memilih untuk Chrome menyimpan kata laluan anda bagi laman web tertentu. Kata laluan yang disimpan boleh disemak dalam tetapan Chrome.

Pengecam Unik untuk Pengurusan Hak Digital

Untuk membolehkan kandungan tertentu diakses menggunakan penyemak imbas Chrome untuk Windows, OS Chrome atau Chromecast, Chrome mungkin dikehendaki menyediakan pengecam unik yang disimpan pada sistem kepada rakan kongsi kandungan dan laman web terpilih yang menggunakan Adobe Flash Access. Pada OS Chrome dan penyemak imbas Chrome untuk Windows, anda boleh melumpuhkan ciri ini dalam tetapan atau menetapkan semula nilai pengecam unik dengan memasang semula sistem pengendalian. Pada Chromecast, pengecam unik ini disimpan secara kekal pada peranti anda dan tidak boleh dipadamkan atau diubah.

Pihak yang diberikan pengecam unik anda boleh mengaitkannya dengan maklumat yang boleh mengenal pasti secara peribadi yang anda berikan kepada mereka. Penggunaan pengecam unik oleh Google untuk menyediakan kandungan dari pelayan Google tertakluk pada Dasar Privasi Google. Jika anda mengakses kandungan dari perkhidmatan pihak ketiga, anda perlu menyemak dasar privasi pihak tersebut untuk mengetahui lebih lanjut.

Menggunakan apl, pelanjutan, tema, perkhidmatan dan alat tambah lain dengan Chrome

Anda boleh menggunakan apl, pelanjutan, tema, perkhidmatan dan alat tambah lain (“Alat tambah”) dengan Chrome, termasuk antaranya yang mungkin dipasang terlebih dahulu atau digabungkan dengan Chrome dan beberapa alat yang mungkin anda peroleh dari Kedai Web Chrome atau sumber lain.

Sebelum memasang Alat Tambah, anda harus menyemak kebenaran yang diminta. Alat Tambah mungkin direka untuk menyimpan, mengakses dan berkongsi data yang disimpan setempat atau dalam akaun Google Drive anda. Alat tambah mungkin menggunakan pemberitahuan yang dihantar melalui pelayan Google. Chrome mungkin menyemak, memuat turun dan memasang kemas kini pada Alat tambah anda. Chrome mungkin menghantar penunjuk penggunaan kepada Google untuk Alat tambah yang dipasang. Sesetengah alat tambah mungkin memerlukan akses kepada pengecam unik untuk pengurusan hak digital. Anda boleh melumpuhkan penggunaan pengecam seperti itu dengan mengalih keluar alat tambah tersebut daripada Chrome.

Dari semasa ke semasa, Google mungkin menemui Alat Tambah yang menimbulkan kerentanan keselamatan atau melanggar syarat pembangun untuk Gedung Web Chrome atau perjanjian sah yang lain, undang-undang, peraturan atau dasar. Chrome mungkin memuat turun secara berkala senarai Alat Tambah sedemikian dari pelayan Google dan Google mungkin melumpuhkan atau mengalih keluar dari jauh Alat Tambah sedemikian daripada sistem pengguna mengikut budi bicara mutlaknya.

Alat tambah yang dibangunkan dan disediakan oleh Google mungkin berkomunikasi dengan pelayan Google dan tertakluk di bawah Dasar Privasi Google kecuali dinyatakan sebaliknya. Alat tambah yang dibangunkan dan disediakan oleh pihak ketiga menjadi tanggungjawab pihak ketiga tersebut dan mungkin tertakluk di bawah dasar privasi pihak ketiga. Contohnya, versi pemalam Adobe Flash Player telah dipasang terlebih dahulu dengan Chrome. Tapak web Adobe di www.adobe.com menyediakan maklumat lanjut tentang amalan privasi Adobe berhubung dengan Flash Player dan anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai melumpuhkan Flash Player atau mana-mana pemalam lain.

Penggunaan

Maklumat yang Google terima apabila anda menggunakan Chrome diproses untuk mengendali dan mempertingkatkan Chrome dan perkhidmatan Google yang lain. Maklumat yang pengendali tapak web lain terima tertakluk pada dasar privasi tapak web tersebut. Chrome menyimpan maklumat pada sistem anda untuk meningkatkan prestasi Chrome dan untuk memberikan anda ciri dan perkhidmatan yang berguna.

Maklumat lanjut

Google mematuhi prinsip privasi Safe Harbor AS. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rangka kerja Safe Harbor atau pendaftaran kami, lihat laman web Jabatan Perdagangan.

Maklumat lanjut mengenai Chrome boleh didapati di sini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai amalan privasi kami, pergi ke dasar privasi penuh. Jika anda ingin mengemukakan pertanyaan tambahan, sila hubungi Google pada bila-bila masa. Atau pun, anda boleh menulis kepada kami di:

Privacy Matters

c/o Google Inc.

1600 Amphitheatre Parkway

Mountain View CA 94043 (USA)